Wednesday, May 27, 2009

SAIDINA ALI: IKTIBAR DAN INSPIRASI KEPADA KAUM BELIA

Kewujudan manusia sebagai khalifah dengan mengambilkira peranannya sebagai pemimpin juga merangkumi semua golongan terutamanya golongan belia. Dalam sejarah Islam dapat dilihat bagaimana golongan belia dan pemuda memainkan peranan yang besar dalam mencapai kegemilangan ummah. Antara tokoh yang boleh dijadikan model golongan belia ialah Saidina Ali Bin Abi Talib kerana beliau berperanan penting dalam membantu perjuangan Rasulullah SAW serta perjuangan memajukan ummah ketika zaman beliau sebagai khalifah.

Saidina Ali merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW. Beliau tidak pernah menyembah berhala dan berperibadi mulia. Beliau mendapat doa khusus ketika disebut namanya dengan “Karramallahu Wajhah”. Beliau merupakan seorang yang gagah perkasa, berani dan mahir dalam menggunakan pedang dalam peperangan. Ketangkasan dan keberanian beliau ketika berhadapan dengan musuh melayakkan beliau diberi gelaran "Asadullah" atau Singa Allah. Beliau terkenal dengan sifat tegas dan adil dalam pemerintahannya.

Justeru, dengan menjadikan Saidina Ali sebagai model belia, terdapat banyak pengiktibaran dan cetusan inspirasi yang boleh dikutip. Antaranyua ialah:

1. Golongan pemuda merupakan aset yang penting bagi sebuah negara dan umat keseluruhannya. Peluang, bakat, kebolehan, kecergasan dan kewibawaan golongan pemuda hendaklah dimanfaatkan secara optima dalam mencapai kegemilangan ummah.

2. Pembangunan modal insan (pemuda) yang bersifat holistik dengan membangunkan ilmu, kemahiran, sikap yang positif dan jati diri adalah persediaan penting yang perlu dipupuk di kalangan pemuda. Saidina Ali telah terbukti mempunyai kehebatan setelah terdidik secara langsung oleh Rasulullah SAW.

3. Keimanan yang mantap, ibadah yang sahih dan akhlak yang mulia adalah ciri yang mesti ada pada pemuda Islam demi untuk membentuk mereka menjadi pejuang yang sejati sepertimana yang dimiliki oleh Saidina Ali.

4. Pemuda perlu bijak memilih keutamaan dalam hidup masing-masing, misalnya dalam soal keilmuan, antara faktor yang menjulang nama Saidina Ali sebagai pemuda harapan ummah ialah faktor keilmuan beliau. Pemuda hari ini perlu menimba dan meneroka ilmu dengan cara yang lebih agresif dan aktif serta membebaskan diri mereka dari belenggu kejahilan.

5. Tuntutan yang sangat penting hari ini pemuda harapan ummah perlu membebaskan diri mereka daripada anasir yang boleh merosakkan diri mereka sama ada dari segi mental, fizikal mahupun spiritual.

6. Pemuda sebagai aset yang penting dan sedang menuju ke alam kedewasaan dan kematangan diibaratkan benih yang sedang tumbuh membesar yang sangat memerlukan persekitaran yang baik, subur untuk memastikan pertumbuhan mereka sihat, maka para pemuda perlu berada dalam persekitaran yang membawa mereka ke arah kebaikan dan bukannya mengheret mereka ke kancah keburukan, mereka perlu memilih rakan yang membantu mereka mencapai kecemerlangan. Hal ini jelas terbukti penting melalui pengalaman Saidina Ali sendiri kerana persekitaran beliau yang begitu hampir dengan Rasulullah SAW maka beliau boleh menjadi seorang tokoh yang berwibawa dalam sejarah Islam.

7. Para pemuda perlu diberi peluang dan mencari peluang supaya mereka dapat terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan ummah supaya mereka dapat menyalurkan bakat dan kemahiran yang ada pada mereka sekaligus ianya merupakan medan latihan kepimpinan yang berterusan bagi mereka.

8. Dalam perjuangan mencapai kegemilangan ummah perkongsian pintar antara golongan veteran dan golongan muda sangat diperlukan, para pemuda perlu menjadikan golongan veteran sebagai rujukan supaya dapat mengimbangi antara semangat, kehendak, keperluan, realiti dan perundangan.

9. Semangat keperwiraan dan berani Saidina Ali perlu dijadikan inspirasi oleh para pemuda supaya berani pada perkara yang benar dan baik sahaja bukannya berani pada perkara salah dan buruk.

10. Budaya kualiti, kreativiti dan inovatif perlu dipupuk di kalangan para pemuda supaya mereka sentiasa dapat menghasilkan sesuatu yang hebat dan gemilang dan seterusnya terbentuk menjadi masyarakat minda kelas pertama.

Sesungguhnya manusia yang memartabatkan dirinya sebagai khalifah akan memakmurkan urusan dunia dengan penuh bertanggungjawab dan amanah. Sekali gus akan memberi makna erti keinsanan dalam diri manusia. Sebaliknya manusia yang lupa daratan dan lupa asal-usulnya akan mengundang kegawatan dan kehancuran peradaban. Semuanya ini berpunca sejauhmana manusia itu memainkan peranan sebagai khalifah atau sebaliknya. Pilihan adalah di tangan manusia itu sendiri. Perhatikanlah firman Allah SWT:

Maksudnya: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah menimpakan (azab) kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Surah al-Rum, ayat 41)

No comments:

Post a Comment

Komen yang membina amat dialu-alukan. Allah SWT melihat kita. Yang tidak bersetuju dengan pandanganku, boleh klik dan beredar ke laman kesukaan anda.

Pengikut