Wednesday, May 27, 2009

“KEPIMPINAN MENURUT ISLAM”

Kepimpinan menurut fahaman barat seperti yang dinyatakan oleh Koontz, O’Donnell dan Weihrich adalah merujuk kepada:

Leadership is generally defined simply as influence, the art or process of influencing people so that they will strive willingly toward the achievement of group goals. … To lead is to guide, conduct, direct and proceed. Leaders act to help a group achieve objectives with the maximum application of its capabilities. They do not stand behind a group to push and to prod; they place themselves before the group as they facilitate progress and inspire the group to accomplish organizational goals.”
(Koontz, H., C. O'Donnell and H. Weihrich (1980). Management. McGraw-Hill Book Company. Toronto, hlm. 661.)

Mereka juga menegaskan bahawa:

“The essence of leadership is followership. In other words, it is the willingness of people to follow that makes a person a leader.”
(Ibid., hlm. 660.)

Pengertian dan definisi yang diberikan oleh Koontz et. al. melihat kepimpinan dalam konteks “hubungan yang berkepentingan” (functional relationship) antara ketua selaku pemimpin dengan para pengikutnya selaku pihak yang dipimpin.
Pengertian begini terlalu subjektif dan tidak mencerminkan keadaan sebenarnya, di samping banyak menimbulkan masalah dalam pelaksanaannya. Ini timbul kerana manasia yang dipimpin itu tidak dilihat dari segi hakikat insan. Apabila hakikat insan diketepikan, sebaliknya pula mengangkat perspektif hubungan fungsional yang subjektif dan relative, akan menzahirkan pandangan yang terbatas dan terbentuknya konsep “the boss is always right”.

Sebaliknya, dalam pandangan Islam, kepimpinan boleh ditakrifkan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis berikut:

Maksudnya: “Tiap-tiap kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap kamu bertanggung-jawab terhadap orang yang dipimpinannya itu. Maka seorang imam itu adalah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpinannya itu. Seorang lelaki itu adalah pemimpin dalam keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap terhadap ahli keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya; dan dia bertanggungjawab terhadap urusan rumahtangga. Seorang hamba itu juga pemimpin dalam menguruskan harta tuannya, dan dia juga adalah bertanggungjawab terhadap harta tuannya. Seorang anak juga bertanggungjawab terhadap harta bapanya, dan dia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya. Ketahuilah, kamu tiap-tiap kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpin.”
(Muttafaqun ‘alayh)


Rasulullah SAW menggunakan istilah “ra‘in” ( رَاع ) dalam hadis sahih di atas, yang membawa maksud pelindung (protector), penjaga (guardian) dan gembala (shepherd) yang membawa makna kepimpinan. Penggunaan istilah ini sangat bermakna kerana konsep kepimpinan dalam Islam berasaskan kepada berapa unsur penting seperti amanah, kasih saying, keadilan, tidak pilih kasih atau berat sebelah, penjagaan rapi dan rasa tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pihak yang dipimpinnya.

Dalam Islam juga melihat kepimpinan itu tidak bererti keupayaan mempengaruhi seseorang untuk membuat sesuatu kerja, tetapi sebagai satu tanggungjawab moral yang besar, suatu amanah yang mesti dilaksanakan oleh semua orang.

Menurut Profesor Dr. Haron Din, kepimpinan itu sebagai amanah dan bukannya keistimewaan. Dengan menjadi pemimpin, maka akan bertambahlah tanggungjawabnya. Lebih tinggi bidang kepimpinannya, maka lebih besar pula tanggungjawabnya.( Profesor Dr. Haron Din, Manusia dan Islam, Percetakan Watan Sdn. Bhd., Shah Alam, 1988, hlm. 188)

Dalam hal ini juga, kepimpinan juga dimengertikan sebagai suatu tanggungjawab yang sangat berat yang memerlukan ilmu pengetahuan, sifat adil, kecekapan, keberanian, ketabahan, kejujuran, kecekalan, akhlak mulia, kesabaran, sifat pemaaf, kesihatan tubuh badan dan mental, dan kesempurnaan anggota serta kebijaksanaan. (Mohd. Affandi Hassan, Beberapa Prinsip dan Ciri Utama Kepimpinan Dalam Islam, Siri al-Risalah (Khas), Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1992, hlm. 24.)

Islam juga meletakkan ukuran kecemerlangan kepimpinan bukannya bersifat individu kerana Islam melarang pemujaan ketua. Kecemerlangan kepimpinan dilihat dari segi kesejahteraan kelompok yang dipimpin. Atas sebab itulah kelompok yang dipimpin yang disebug sebagai ummah atau masyarakat hendaklah berasaskan persaudaraan (ukhuwah), persatuan (ittihad), toleransi (tasamuh), tolong-menolong atau kerjasama (ta‘awun), persamaan (musawah), soladiriti atau tanggungjawab bersama (at-takaful al-ijtimak), perundingan (syura), kebahagian, kesejahteraan, kemakmuran dan keadilan. (Ibid., hlm. 25.)

Antara tuntutan utama kepimpinan dalam Islam ialah kepentingan ilmu pengetahuan. Dalam hal ini, perbezaan antara binatang dengan manusia ialah manusia itu berilmu, sementara binatang hanya mempunyai kemahiran tertentu. Oleh itu, ilmu lebih penting daripada kemahiran. Lantaran itu, pendidikan, yang dihubungkan dengan ilmu, lebih diutamakan dari latihan, yang dihubungkan dengan kemahiran.

Dari pendidikan yang berasaskan ilmu yang benar akan melahirkan adab. Matlamat utama dalam pendidikan ialah mewujudkan peradaban. Tanpa ilmu yang benar, yang berasaskan keimanan, tidak timbul rasa takut kepada Allah, tidak wujud keadilan, dan tidak akan terbentuk peribadi yang bertaqwa.

Aspek keadilan juga termasuk dalam tuntutan utama kepimpinan. Perintah berlaku adil banyak sekali disebut dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl, ayat 90)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Islam menegaskan bahawa keadilan ditegak tanpa mengira sesiapapun termasuklah kepada diri sendiri dan kaum keluarga yang terdekat sekalipun.

Firman Allah:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Kalaulah yang didakwa itu kaya ataupun miskin, (maka janganlah kamu terhalang daripada melakukan keadilan), kerana Allah lebih bertimbangrasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu supaya kamu tidak menyimpang dari keadilan.”
(Surah an-Nisa’, ayat 135)

No comments:

Post a Comment

Komen yang membina amat dialu-alukan. Allah SWT melihat kita. Yang tidak bersetuju dengan pandanganku, boleh klik dan beredar ke laman kesukaan anda.

Pengikut