Wednesday, May 27, 2009

“MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH”

Manusia yang dilantik oleh Allah SWT menjadi khalifah di muka bumi ini sebenarnya menanggung setiap amanah dan tanggungjawab dalam memakmurkan alam serta beribadat kepada Allah. Jelas sekali bahawa inilah kehidupan yang selayaknya dilaksanakan oleh manusia. Bukan mudah memegang amanah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah sepenuhnya. Kerana manusia begitu mudah untuk leka dan lupa sehingga mereka merasakan dunia ini akan terus kekal dan dapat dinikmati selama-lamanya.

Dua amanah utama yang perlu dilaksanakan oleh manusia sebagai hamba Allah SWT. Ayat yang selalu kita dengar tetapi amat kurang sensitiviti kita terhadap dua perkara ini, iaitu Amar makruf dan nahi munkar. Oleh itu, lakukan kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Jika kita perhalusi, sebenarnya dua amanah begitu berat untuk kita sama-sama laksanakan jika kita tidak menyedari hakikat kita sebagai khalifah di bumi ini. Kita sepatutnya lebih sensitif bila mana Allah menyebut di dalam kalamNya:

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali Imran, ayat 110)
Jika ini kedudukan yang Allah SWT berikan pada kita, maka mulai sekarang jika perlu melihat kembali diri kita, peranan kita dalam memakmurkan bumi dalam konteks yang dikehendaki olehNya dalam menggalas martabat seorang khalifah. Apa yang perlu kita sebagai khalifah untuk terus memastikan dipayungi oleh kebaikan dan juga memastikan bahawa kemungkaran juga dapat dicegah dan dibendung.

Peranan Manusia Sebagai Abid Dan Khalifah

Untuk mengenal dan mengetahui secara umum mengenai manusia yang hidup di dunia ini, kita akan memperlihatkan peringkat-peringkat manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi ini. Peringkat tersebut menggambarkan sejauhmana seseorang dapat mengira dan menduga di peringkat mana dia berada sama ada di peringkat yang taat ataupun peringkat yang derhaka, peringkat yang bertanggungjawab atau yang cuai. Pembahagian manusia sebagai hamba Tuhan sekaligus khalifah-Nya adalah seperti berikut:

1. Golongan yang tidak tahu atau tidak sedar yang mereka itu hamba Tuhan dan khalifah-Nya

Mereka ini adalah golongan yang tidak tahu, tidak sedar atau tidak mengambil tahu apakah dirinya hamba dan khalifah Allah atau tidak kerana mereka tidak beriman dengan al-Quran dan as- Sunnah. Oleh itu sudah tentu mereka tidak memperhambakan diri kepada Tuhan. Kalau ada yang memperhambakan diri serta membuat penyembahan tetapi bukan kepada Allah dan caranya juga tidak seperti yang Allah kehendaki. Begitu juga mereka mentadbir kehidupan di dunia ini, tidak dengan syariat Tuhan tetapi dengan ideologi yang mereka buat sendiri. Mereka tidak akan merujuk kepada peraturan Allah kerana mereka tidak menganggap dirinya khalifah Allah. Mereka berbuat sesuka hati. Mereka mengurus kehidupan sama sekali tidak dihubungkan dengan Allah. Mereka itulah golongan orang-orang kafir.

2. Golongan yang tahu bahawa mereka adalah hamba dan khalifah Allah di bumi tetapi rasa kehambaan dan kekhalifahannya tidak ada atau tidak wujud

Golongan ini tahu dan sedar bahawa mereka adalah hamba Allah dan khalifah-Nya di bumi tetapi kerana jahil, lemah melawan hawa nafsu, cinta dunianya begitu kuat, kepentingan peribadinya terlalu banyak, maka yang demikian rasa kehambaannya kepada Allah begitu lemah. Maka dia cuai memperhambakan diri kepada Allah. Sebab itulah pengabdiannya kepada Allah lemah dan cuai. Begitu juga rasa kekhalifahannya kepada Allah sudah tipis. Syariat Allah tidak berjalan di dalam usaha, perjuangan dan pentadbirannya. Lantaran itu dalam berusaha, berjuang, mentadbir, mengurus, membangun serta memajukan dunia ini, mereka sudah tidak ada rasa tanggungjawab kepada Allah. Maka mereka pun melakukan sewenang-wenangnya di bumi ini. Undang-undang yang dibangunkan adalah berdasarkan akal atau ideologi atau pragmatisme bukan dari al-Quran dan as-sunnah lagi. Kalau ada pun hanya di sudut-sudut yang sangat terbatas atau di aspek-aspek yang tertentu saja. Mereka ini adalah golongan umat Islam yang fasik atau zalim dan ditakuti, kalau dibiarkan terus dapat membawa kepada kekufuran.

3. Golongan yang merasa kehambaan dan kekhalifahan kepada Allah di bumi
Rasa kehambaan dan rasa kekhalifahannya kepada Allah itu kuat. Oleh itu mereka dapat melahirkan sifat-sifat kehambaan serta memperhambakan diri kepada Allah dengan membaiki yang fardhu dan sunat dengan sungguh-sungguh. Mereka juga dapat bertanggungjawab sebagai khalifah-Nya di bumi sesuai dengan kedudukan dan kemampuan masing-masing. Mereka benar-benar bertanggungjawab dengan sebaik-baiknya di sudut-sudut kekhalifahannya. Syariat Tuhan berjalan di dalam kepimpinan mereka yang mereka urus berdasarkan bidang dan peranan masing-masing sesuai dengan kemampuan mereka. Itulah golongan orang yang soleh. Mereka boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian pula iaitu: (i.) Golongan yang sederhana (golongan ashabul yamin), (ii.) Golongan muqarrobin, dan (iii.) Golongan as siddiqin.

4. Golongan yang sifat kehambaannya dan memperhambakan diri kepada Allah lebih menonjol daripada kekhalifahannya kepada AllahMaksudnya mereka yang dari golongan orang soleh tadi, ada di kalangan mereka, penumpuannya kepada beribadah kepada Allah lebih terlihat dan menonjol dengan menghabiskan masa beribadah, membanyakkan fadha’ilul ‘amal, berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bersalawat dan mengerjakan amalan-amalan sunat baik itu shalat sunat maupun puasa sunat. Kerana itu mereka tidak dibebankan dengan tugas-tugas masyarakat yang berat-berat.
Mungkin sifat-sifat kepimpinannya tidak menonjol atau lemah dibandingkan dengan kehambaannya maka orang tidak melantik mereka menjadi pemimpin. Kalau ada pun sekadar pemimpin keluarga dan masyarakat kampung. Sekadar itulah daerah kekhalifahannya. Oleh itu, waktu mereka adalah untuk memperbanyakkan ibadah. Golongan ini dikatakan abid yang baik.

5. Golongan yang sifat kekhalifahannya kepada Allah lebih menonjol daripada sifat kehambaannya
Mereka ini yang biasanya diberi tanggungjawab kepimpinan dan mengurus kemasyarakatan oleh orang kerana karisma dan sifat-sifat kepimpinan mereka yang menonjol. Mereka mungkin menjadi pemimpin negeri atau negara atau sebuah jemaah yang besar. Masanya lebih banyak digunakan atau ditumpukan untuk memimpin dan membangun serta menyelesaikan masalah masyarakat. Kepimpinannya berjalan mengikuti Islam. Mereka mengerjakan ibadah secara sederhana sahaja. Tidak terlalu lemah dan tidak juga terlalu banyak. Golongan ini dianggap pemimpin yang baik.

6. Golongan yang rasa kehambaannya dan kekhalifahannya sama-sama menonjol

Golongan ini adalah mereka yang menjadi pemimpin baik itu pemimpin-pemimpin negeri, negara atau empayar yang menjalankan hukum-hukum Allah di dalam kepimpinannya. Mereka ini sibuk sungguh dan menghabiskan waktu untuk memimpin dan beribadah. Sibuk dengan masyarakat, sibuk juga dengan Allah. Makin kuat dengan manusia, semakin kuat pula mereka dengan Allah. Hablumminallah dan hablumminannas sama-sama naik, sama kuat, maju. Kedua bidang sangat meriah. Nampak dilihat sama-sama maju. Inilah yang dikatakan abid yang memimpin, yang luar biasa, yang sangat cemerlang seperti Khulafa’ ar-Rasyidin dan Sayidina Umar Abdul Aziz. Kepimpinan mereka luar biasa. Ibadah mereka juga luar biasa. Kepimpinan mereka sangat adil dan sangat bertanggungjawab kepada rakyat baik itu untuk dunia rakyatnya atau akhirat rakyatnya. Di samping itu ibadah mereka sangat kuat dan banyak terutama di waktu malam. Dalam hal ini, Sayidina Umar Ibnul Khattab pernah berkata: “Kalau saya banyak tidur di siang hari, akan terabaikan urusan saya dengan rakyat. Kalau banyak tidur di malam hari, akan terabaikan urusan saya dengan Allah.” Ini adalah golongan abid dan sekaligus pemimpin yang sangat baik.

No comments:

Post a Comment

Komen yang membina amat dialu-alukan. Allah SWT melihat kita. Yang tidak bersetuju dengan pandanganku, boleh klik dan beredar ke laman kesukaan anda.

Pengikut