Saturday, May 16, 2009

Cuba

dalam cuba
aku luka

dalam perit
aku tawar

dalam suka
aku tangis

dalam beban
aku sabar

dalam rintih
aku syukur


hadenant

“MENGENALI DIRI MANUSIA”

Manusia adalah sejenis makhluk Allah yang teristimewa dari makhluk-makhluk lain. Oleh kerana, manusia sendiri perlu memahami dan meneliti apakah pandangan hidup kemanusiaannya dan apakah neraca pertimbangan yang digunakan dalam mengemudi bahtera kehidupannya. Dalam hal ini, seorang sarjana barat iaitu Stevenson dalam tulisannya menyatakan:

“What is man? This is surely one of the most important questions of all. For so much else depends on our view of human nature. The meaning and purpose of human life, what we ought to do, and what we can hope to achieve – all these are fundamentally affected by whatever we think is the ‘real’nature of man.” (Stevenson, Leslie, Seven Theories of Human Nature, London, Oxford University Press, 1974, hlm. 3.)

Perbahasan mengenai teori tentang konsep dan asal-usul kejadian manusia telah dibincangkan oleh pelbagai pihak. Antaranya yang dikemukakan oleh Plato dengan teori The Rule of the Wise, Christianity dengan teori God’s Salvation, Marx dengan Communist Revolution, Freud dengan teori Pscho-Analysis, Sartre dengan Atheistic Existentialism, Skinner dengan teori The Conditioning of Behaviour dan Lorenz dengan teori Innate Aggression. (Sila lihat Yusoff Mohamad, Bina Insan Satu Analisis Kaedah,Kuala Lumpur, Nurin Enterprise, Cet. 2, 1989, hlm. 15)

Semua teori di atas mempunyai pandangan yang tersendiri tentang hakikat manusia dan erti kehidupan mereka di dunia ini. Malah tidak kurang pula yang terpengaruh dengan “teori evolusi” yang diketengahkan oleh Charles Darwin, “Teori X dan Teori Y Manusia” yang dikemukakan oleh Dougles McGregor, teori “Self-actualizing Man” yang diperkenalkan oleh Abraham Maslow dan banyak lagi teori-teori tentang kejadian dan kehendak manusia. (Ibid., hlm. 15-19)

Sebagai rumusannya semua teori di atas hanya melihat tabiat manusia dari segi luaran dan berasaskan perilaku zahirnya sahaja. Ia tidak sesuai dengan pandangan Islam, apatalah lagi untuk diaplikasikan dalam masyarakat di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya, yang mempunyai keperibadian, latar belakang sosio-budaya dan sejarah tersendiri. Penilaian terhadap teori tersebut juga bersifat subjektif dan sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa, berdasarkan batas geografi, iklim persekitaran dan stratafikasi sosial yang pelbagai. Justeru, tulisan ini selanjutnya mengetengahkan hakikat manusia daripada perspektif Islam yang menyifatkan kejadian manusia adalah untuk berkenal-kenalan tanpa mengenal batas geografi, iklim persekitaran dan stratafikasi sosial. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujarat, ayat 13:
Maksudnya: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Manusia Menurut Pandangan Islam
Islam menjelaskan bahawa manusia adalah daripada keturunan Nabi Adam AS. Ketika pertama kali Allah SWT menjadikan alam, dijadikan para malaikat untuk mengimarahkannya. Kemudian Allah SWT memberitahu malaikat untuk menjadikan Adam sebagai khalifah di muka bumi. Cadangan itu mendapat tentangan para malaikat dan Iblis. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat bahawa sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Malaikat berkata: adakah Engkau akan menjadikan khalifah di bumi itu daripada kalangan orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Maksudnya: “Dan apabila Kami berfirman kepada para malaikat supaya bersujud kepada Adam, maka semuanya sujud kecuali Iblis. Dia enggan dan takabur; dan adalah Iblis itu termasuk dalam golongan orang-orang yang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Iblis dengan perasaan enggan dan takabbur telah menyatakan kepada Allah bahawa dia dijadikan dari api, sedangkan Adam pula hanya dijadikan dari tanah.

Maksudnya: “71.(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat bahawa sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. 72.Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya". 73.Lalu seluruh malaikat-malaikat itu bersujud semuanya, 74.Kecuali Iblis; dia menyombongkan diri dan adalah dia termasuk orang-orang yang kafir. 75.Allah berfirman: “Wahai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?”.
76.Iblis berkata: “Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah”. (Surah al-Saad: ayat 71-76)


Seluruh manusia di muka bumi ini dijadikan dari Adam AS. Manusia merupakan zuriatnya yang membiak hasil penyatuan Adam dan Hawa.

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: ayat 1)
Dalam kandungan ibunya pula, terdapat beberapa peringkat kejadian manusia yang bertukar dari satu peringkat ke peringkat yang lebih matang. Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa manusia sedar akan hakikat kejadiannya iaitu berasal dari tanah dan terbentuk dari air yang hina yang membesar dalam rahim ibunya. Allah berfirman:

Maksudnya: “12. Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. 13. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). 14. Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, pencipta yang paling baik.”
(Surah al-Mukminun, ayat 12-14)


Manusia perlu menyerlah rasa syukur dan terhutang budi kepada Allah kerana sesungguhnya hanya sedikit sahaja di kalangan manusia yang bersyukur. Justeru, insan yang memikir dan merenung dengan baik asal kejadiannya tentu akan insaf bahawa dahulunya dia tiada, demikian juga yang terjadi pada seluruh umat manusia. Insan perlu juga menginsafi beberpa sifat kekurangan dan kedaifannya sebagaimana berikut:

1. Insan jua perlu meneliti kembali bagaimana kejadian awalnya yang daif dan lemah. Firman Allah:
Maksudnya: “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (Surah al-Nisa’, ayat 28:)
2. Insan yang seluruh hidupnya tidak sunyi daripada berjuang dan berusaha dengan gigih untuk hidup. Firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” (Surah al-Balad, ayat 4)
3. Akhirnya Allah mengangkat martabat manusia menjadi makhluk yang paling mulia.
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan.” (Surah al-Isra', ayat 70)

4. Manusia diberikan amanah untuk memakmurkan dunia dan mewujudkan masyarakat adil dan bermoral.
Maksudnya: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.”
Surah al-Qasas, ayat 77:)

Demikianlah Islam meletakkan hakikat manusia yang merupakan keturunan Nabi Adam AS yang pertama kali dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini. Dengan kedudukannya itu, manusia dianggap sebaik-baik kejadian. Firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tiin, ayat 4)
Justeru, selaku makhluk yang bersifat sebaik-baik manusia, sebenarnya manusia harus terus dan sentiasa mengangkat martabat sebagai khalifah di muka bumi ini.

WaLlahu ‘A’lam

Pengikut