Sunday, November 15, 2009

Kepercayaan Mistik dan Tahyul dalam Masyarakat Islam

Khutbah Jumaat

Tajuk: “Kepercayaan Mistik dan Tahyul dalam Masyarakat Islam”

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رب العالمين.أَشْـهَدُ أَنْ لآ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَـرِيْكَ لَهُ، وَأَشْـهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُـوْلُهُ. اَللَّهُـمَّ صَـلِّ وَسَـلِّمْ عَلَى سَـيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْـحَابِهِ أَجْـمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَآ أَيُّهَا الْمُسْـلِمُوْنَ، اِتَّقُوا اللهَ، قَالَ اللهُ تَعَالَى:

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita tanamkan dalam diri kita perasaan takut dan gerun kepada Allah SWT. Takut dengan maksud yakin dan percaya bahawa tiada makhluk lain yang mampu menandingi kekuasaan-Nya dan hanya Allah sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan. Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan mengenai “Kepercayaan Mistik dan Tahyul Dalam Masyarakat Islam”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mistik menurut kamus dewan ialah keadaan ghaib yang tidak dapat diselami oleh pemikiran manusia yang mengandungi keanehan dan keajaiban. Manakala tahyul pula ialah kepercayaan yang karut dan bersifat khayalan. Cerita dan minat terhadap kisah tahyul dan mistik bukan merupakan isu baru dalam masyarakat Islam di Malaysia, sebaliknya telah berakar umbi sejak zaman nenek moyang lagi. Kisah mistik dan tahyul sentiasa menarik minat masyarakat Islam sehinggakan pameran jin dan alam misteri yang pernah dianjurkan suatu masa dahulu mendapat sambutan yang luar biasa. Begitu juga dokumentari dan filem mengenai mistik dan tahyul yang ditayangkan hampir dalam setiap saluran televisyen mencatat bilangan penonton yang tinggi.

Umum mengetahui pelesit, langsuir, pontianak, pocong, toyol dan hantu raya, merupakan nama-nama hantu yang sebati dalam minda orang Melayu. Begitu juga istilah-istilah seperti saka, susuk, santau, pelaris, puja, seru, badi mayat, orang bunian, penunggu dan mambang yang mempunyai hubungan yang erat dengan jin dan syaitan.

Mempercayai kewujudan jin merupakan salah satu aspek kepercayaan kepada alam ghaib yang wajib diimani. Al-Quran turut merakam sejarah perhubungan manusia dengan jin semenjak dari penciptaan Adam AS, perdebatan Nabi Musa dengan ahli sihir firaun, dan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis. Malah Nabi Muhammad SAW juga turut berdakwah kepada kaum jin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Liputan meluas terhadap cerita mistik dan tahyul ini telah mengakibatkan sindrom takut di kalangan masyarakat terutama kanak-kanak. Takut mereka kapada apa yang dinamakan hantu dan makhluk halus mengatasi takut mereka kepada Allah SWT. Mereka sering didedahkan dengan gambaran hantu-hantu di tanah perkuburan, hantu-hantu yang gemar mencekik mangsa dan menghisap darah, hantu-hantu yang memegang kepalanya sendiri yang telah tercabut, keranda terbang, tongkat berdiri sendiri dan seumpamanya. Ketakutan ini terbawa-bawa di dalam tidur mereka sehingga melemahkan semangat, tubuh badan seterusnya minda mereka.

Bukan itu sahaja, bomoh dan dukun palsu yang tidak mengikut cara dan kaedah Islam pula turut menjadi tumpuan segelintir masyarakat Islam untuk merawat segala penyakit sama ada penyakit zahir ataupun misteri. Anggapan sesetengah orang, rawatan dengan azimat dan tangkal dan seumpamanya lebih berkesan dan cepat sembuh berbanding rawatan secara Islam. Kadang kala bomoh dan dukun palsu ini mengelirukan masyarakat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, di samping ramuan jampi dan serapah mereka.

Segelintir masyarakat menganggap bomoh mampu mengetahui alam ghaib dam meramalkan sesuatu perkara. Justeru itu, tidak hairanlah bomoh dan dukun menjadi tempat tumpuan dan rujukan utama segelintir masyarakat Islam dalam menyelesaikan masalah jenayah seperti kecurian, penculikan, pembunuhan dan sebagainya. Bukan itu sahaja bomoh juga dijemput dalam majlis-majlis perkahwinan dan kenduri kendara sebagai benteng pertahanan daripada hasad dengki manusia melalui perantaraan jin dan syaitan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sejarah anutan masyarakat melayu sebelum kedatangan Islam seperti kepercayaan Animisma. Hindu ataupun Budha turut mempengaruhi kepercayaan masyarakat Islam berhubung perkara mistik. Pegangan agama yang dihayati oleh orang Melayu tidak berupaya menyingkirkan sebahagian amalan karut dan bertentangan dengan hukum Islam. Pengetahuan yang kurang mengenai Islam khususnya maklumat berkaitan jin dan syaitan menjadikan segelintir masyarakat Islam terjebak ke dalam lembah kesyirikan tanpa disedari. Begitu juga aqidah umat Islam yang nipis dan longgar menjerumuskan mereka ke dalam lembah kesesatan. Percayalah bahawa kepercayaan kepada kuasa lain selain Allah yang boleh menyembuh dan merawat penyakit akan merosakkan aqidah seseorang Islam. Kepercayaan bahawa seseorang itu mampu mengetahui perkara ghaib juga merupakan kepercayaan yang sesat, berdosa dan bertentangan dengan aqidah Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita seharusnya meletakkan kedudukan kita sebagai khalifah di muka bumi lebih mulia daripada jin dan syaitan. Ketakutan kita kepada makhluk jin, syaitan dan pergantungan kita kepada mereka sebenarnya merendahkan martabat kita di sisi Allah SWT.

Sebagai orang Islam kita juga harus menyedari bahawa perkara-perkara mistik dan tahyul yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini adalah mainan syaitan dan sihir yang diajar oleh syaitan kepada manusia. Ingatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 102:

Maksudnya: “Dan mereka mengikuti ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan nabi Sulaman, padahal nabi Sulaiman tidaklah kafir, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihir itu); dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat kerana merekalah yang mengajarkan manusia amalan sihir.”

Sebagai orang Islam kita juga hendaklah mempercayai bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui alam ghaib. Kepercayaan bahawa bomoh atau orang-orang tertentu boleh mengetahui alam ghaib dan mengetahui perkara yang akan dating merupakan perkara yang sesat dan harus dijauhi. Ingatlah sabda Rasullulah SAW yang terdapat dalam sahih muslim.
(( مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَـأَلَهُ عَنْ شَـيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ لَيْلَةً.))
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik kemudian bertanyakan kepadanya sesuatu tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.”

Rasullulah SAW pernah ditanya oleh sahabatnya mengenai perkhabaran yang disampaikan oleh bomoh yang ada kalanya benar. Hadis daripada Aishah RA yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Aishah berkata: “Sahabat bertanya kepada Rasulullah mengenai Al-Kuhhan. Rasulullah SAW menjawab: “Mereka tidak bernilai di sisiku.” Sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, mereka mengkhabarkan perkara yang kadangkala benar.” Rasulullah SAW menjawab: “Berita yang benar tersebut dicuri oleh jin lalu menyembunyikannya di telinga tuannya seperti bunyi ayam dan menyampur-adukkan dengan lebih dari seratus penipuan.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pihak-pihak penerbit dan penyiaran yang terlibat dalam media massa, hendaklah memikirkan kemaslahatan umat dan tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata. Niat yang baik tetapi natijahnya melahirkan masyarakat yang penakut juga merupakan amalan yang merugikan dan sia-sia. Walaupun filem-filem yang ditayangkan mengandungi pengajaran dan tauladan, namun jika kesan buruk lebih banyak daripada kebaikan, maka itu wajib dihentikan. Masyarakat kita tidak sewajarnya dilekakan dengan isu hantu dan jin sehingga terlupa isu yang lebih besar membabitkan agama, bangsa dan Negara.

Petikan Surah Jin, ayat 6, yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia meminta perlindungan daripada beberapa lelaki daripada kalangan jin, kerana jin-jin ini menambahkan mereka dosa dan kesalahan.”


بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّـمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِى هٰذَا، وَأَسْـتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ، وَلِسَـائِرِ الْمُسْـلِمِيْنَ وَالْمُسْـلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْـتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Post a Comment

Komen yang membina amat dialu-alukan. Allah SWT melihat kita. Yang tidak bersetuju dengan pandanganku, boleh klik dan beredar ke laman kesukaan anda.

Pengikut